Lawatan muhibbah PERSIB Cawangan Daerah Belait (CDB) ke Bintulu telah berlangsong pada 21hb dan 22hb December 2007 dan berjaya dilaksanakan sesuai dengan apa yang dihasratkan.
Tujuan lawatan adalah bagi memperkenalkan Seni Silat Cekak Asli Brunei dan Kuntau. Di samping itu, untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim serta perpaduan di antara kedua belah pihak khususnya.
Rombongan PERSIB CDB seramai 25 orang telah bertolak dari Kompleks Sukan Mumung, Belait pada jam 9.30 pagi setelah semuanya berkumpul dan mendengar taklimat dari ketua rombongan iaitu Hj Zabidi bin Ali.
Rombongan PERSIB CDB yang menggunakan lima buah kenderaan selamat tiba di Imperial Mall Miri kira-kira pada jam 11 pagi untuk makan tengah hari dan rehat seketika. Pada jam 1.00 petang rombongan seterusnya bertolak menuju ke Daerah Bintulu.
Alhamdulillah rombongan telah selamat sampai ke Bandar Bintulu pada jam 4 petang, dimana kedatangan kami di sambut secara sederhana tapi dalam suasana meriah oleh Ketua Gabungan Pencak Silat (GPS) Bintulu iaitu Tuan Guru Nawawi. Kami juga telah di pelawa untuk menikmati jamuan ringan sambil bersalaman dengan ahli Gabungan Pencak Silat Bintulu yang lain. Sedikit taklimat telah di berikan olih ketua GPS mengenai atur cara majlis pada malam kemuncak dan di selajurkan dengan rehearsal secara ringkas.
Majlis pada malam kemuncak itu telah di mulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan bagi kedua buah Negara, Brunei Darussalam dan Malaysia dan disusuli dengan bacaan doa bagi memberkati lagi majlis pada malam tersebut. Persembahan di mulakan dengan persembahan drill dari Gabungan Peguruan Langkah Pertiwi Bintulu sebagai tanda salam penghormatan dan perkenalan.
Seterusnya, kata alu-aluan dari Pengerusi Majlis Tuan Guru Nawawi yang mana telah merasa berbesar hati menerima kunjungan PERSIB CDB yang julung kalinya mengadakan lawatan ketempat mereka. Sehubungan dengan itu beliau juga mencadangkan untuk mengadakan pertemuan Ahli Pesilat dari 5 wilayah (Brunei, Sarawak, Kalimatan, Wilayah Persekutuan Labuan & Sabah)untuk tujuan mengeratkan tali silaturrahim sambil memperkenalkan seni silat dan budaya masing masing. Kemudiannya di ikuti dengan ucapan dari Pengerusi PERSIB CDB, Hj Zabidi bin Ali yang telah merakamkam ucapan setinggi terima kasih atas kesudian GPS Bintulu untuk menerima kunjungan PERSIB CDB dan juga mempelawa GPS Bintulu untuk membuat kunjungan ke Negara Brunei Darussalam semasa Perayaan Hari Keputeraan Kebawah DYMM di bulan Julai 2008.
Majlis seterusnya disambung dengan upacara pembukaan gelanggang dari Perguruan GPS Bintulu dan di ikuti olih persembahan pencak silat dari kedua belah pihak. Upacara di serikan lagi dengan persembahan seni silat dari ketua guru perguruan yang bergabung dengan GPS Bintulu yang terdiri dari :-
1. Perguruan Helang Putih
2. Kuntau Spring 12
3. Cempaka Putih
4. Langkah Pertiwi
5. Perguruan Setia Hati
6. Kuntau Betawi
7. Pesilat jemputan dari Indonesia
Majlis di akhiri dengan penutupan gelanggang dari perwakilan dari PERSIB CDB iaitu Pg. Ali bin Pg. Hj Apong dari Pertubuhan Gagak Hitam (PERGAH) dan Hj Ramli bin Hj Metali dari Ikatan Pencak Silat Nusantara (IPSN). Dan seterusnya pertukaran cenderahati sebagai tanda kenang-kenangan dari kedua belah pihak. Sebelum majlis bersurai kedua belah pihak berkesempatan untuk bergambar ramai dan bersalam salaman sebelum bersurai pada jam 11.00 malam.
Pada keesokkan harinya rombongan bertolak meninggalkan Bandar Bintulu pada 12.30 tengah hari dan tiba di Bandar Miri pada kira kira jam 3.30 petang untuk minum petang, rehat dan membeli belah. Rombongan seterusnya bertolak dari Bandar Miri pada kira kira jam 6.00 petang untuk menuju balik ke Brunei Darussalam.
No comments:
Post a Comment